KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut, manakala empat rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Batang Kali, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.28 petang dan tujuh pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu digegaskan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah terjatuh di dalam gaung dan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu mengambil masa 10 minit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagaimanapun wanita berusia 58 tahun itu disahkan telah meninggal dunia, manakala empat mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran.Identiti semua mangsa yang terlibat belum diperoleh. – Bernama