Bantah RUU355, MCA terdesak raih sokongan Cina – PERKASA

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam PERKASA, Dr. Amini Amir Abdullah berkata kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan seolah-olah menghina kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PERKASA menganggap tindakan MCA dan DAP itu sebagai biadap dan kurang ajar kerana mengganggu aspirasi dan kehendak umat Islam dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr. Amini, beliau hairan dengan tindakan MCA yang terus menyuarakan bastahan sedangkan RUU355 berkenaan langsung tidak menyentuh atau melibatkan orang bukan Islam.

Malah katanya ‘serangan’ berterusan daripada parti komponen Barisan Nasional itu dilihat cuba mempolitikkan isu berkenaan bagi meraih undi orang Cina.

“Apakah sebabnya MCA dan DAP seia sekata dan sehati sejiwa dalam membantah keras RUU355? Mesti ada sebabnya. Mereka cuba menjadi juara dalam kalangan orang orang Cina dalam usaha meraih undi menjelang PRU14 nanti.

“PERKASA sekali lagi memberi amaran sekeras kerasnya kepada MCA dan DAP agar tidak mempolitikkan isu ini untuk kepentingan politik mereka.

“PERKASA berpandangan bahawa MCA sudah habis modal politik untuk meraih undi pengundi pengundi Cina dalam PRU 14 yang bakal mendatang,” ujarnya.

Susulan daripada itu, Dr. Amini mengingatkan MCA supaya tidak mencampuri urusan umat Islam sekiranya tidak mahu menerima padah jika terus berdegil.

Related Articles