Kena Penjara Lagi Sekali Selepas Cekik Isteri, Positif Dadah

by Anis

KUALA LUMPUR: Seorang buruh yang baru selesai menjalani hukuman penjara berkaitan kes dadah hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan mencekik leher isterinya minggu lepas.

Chin Tong Choi, 44, yang berdepan dua tuduhan termasuk positif dadah, dijatuhi hukuman penjara 17 bulan bagi kedua-dua tuduhan selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 42 tahun di sebuah rumah di Taman Arosa, Jalan Bakri, Muar pada 7 Feb.

Menurut fakta kes, tertuduh dipercayai hilang pertimbangan lalu mencekik isterinya selepas menuduh wanita itu mempunyai lelaki lain, lapor Berita Harian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Selain itu, tertuduh juga didakwa bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 39B akta sama, kerana menggunakan methamphetamine dan amphetamine.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi kes mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, dan hukuman penjara enam bulan serta pengawasan polis selama dua tahun bagi kesalahan dadah.

Mahkamah juga memutuskan hukuman penjara bagi kedua-dua tuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan, iaitu 12 Feb.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki manakala tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – FMT

Related Articles