Kementerian Kesihatan siasat aduan ais kotor

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan sekiranya ada laporan sebegini orang ramai atau pengadu boleh membuat aduan kepada pihak mereka dengan menyatakan lokasi serta maklumat syarikat berkaitan.

Katanya, bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan akan siasat dan jika perlu tindakan, ia akan dilaksanakan.

“Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan garis panduan (SOP) berkaitan polisi pengurusan keselamatan makanan kepada pengusaha kilang ais yang wajib mereka patuhi.

“Misalnya nama produk, sumber air yang digunakan untuk penyediaan ais, sistem rawatan punca air, kaedah pemprosesan ais, spesifikasi pembungkusan, kaedah penyimpanan dan juga persekitaran kilang,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya pengusaha kilang ais tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, tindakan tegas akan boleh dikenakan mengikut undang-undang sedia ada terutamanya berkaitan keselamatan dan kualiti makanan.

“Pengusaha yang melanggar syarat pengendalian boleh digantung atau dibatalkan lesen perniagaan.

“Pelesen hendaklah sentiasa memastikan kesemua peruntukan dalam Akta Makanan 1983 dan peraturan ditetapkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Related Articles