Kementerian Kesihatan kesan 10 produk kosmetik mengandungi racun

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk-produk kosmetik itu adalah Melan: Off Intensive Mask, Melan: Off Cream, Afrina Night Cream, Afrina Daily Cream, Krim Herba Kemboja, Day Pinky Cream, Night Glow Cream, Debella Nadien Glow Night Cream, Mekar Semilu Scrub Muka Mutiara Beauty Collection dan Mekar Semilu Cream Mekarsutra.

“Produk-produk kosmetik itu mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin dan logam berat merkuri dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Noor Hisham berkata, produk yang mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Kebiasaannya hidrokuinon digunakan bagi merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi, manakala tretinoin dan asid azelaik pula digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat.

“Penggunaan hidrokuinon, asid azelaik atau tretinoin tanpa mendapat nasihat kepakaran daripada profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf,” katanya.

Noor Hisham berkata, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk kosmetik berkenaan diarah untuk memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk kosmetik tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam. – Bernama

 

Related Articles