Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang di Jinjang pada 11 Ogos lepas dan ia disiasat sebagai kes kehilangan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner P R. Munusamy berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada Isnin lepas di sekitar Jinjang dan suspek direman empat hari sehingga Khamis.
“Esok (Khamis) kita akan buat permohonan untuk lanjutkan reman dan setakat ini siasatan hanya melibatkan seorang individu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sejak kanak-kanak itu dilaporkan hilang, kes itu mulanya disiasat sebagai kes orang hilang sebelum bertukar menjadi kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan selepas suspek tersebut ditahan.
“Namun setelah mayat mangsa ditemui hari ini, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya sambil menegaskan motif pembunuhan masih disiasat.
Noor Amila Edrus, anak sulung daripada dua beradik, tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di Jinjang Utara. Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan pada kira-kira 12.30 tengah hari pada Khamis. – Bernama