Keluarga mangsa MH17 kirim ucapan penghargaan buat PM

Ucapan itu diterima daripada Harbinder Kaur, isteri mendiang Karamjit Singh Karnail Singh, 54, seorang daripada mangsa tragedi MH17.

“Terima kad yang cantik ini daripada Puan Harbinder. Terima kasih atas ucapan yang sungguh indah ini. Perkara kecil sebeginilah yang memberi dorongan kepada saya,” kata beliau menerusi catatan dalam laman Facebook dan Twitter malam tadi.

Dalam ucapan pada kad itu, Harbinder mengucapkan terima kasih kepada Najib atas sumbangan bermakna dengan memberi bantuan kewangan untuk pendidikan anaknya, Annarpal Singh.

Mendiang Karamjit yang berkhidmat sebagai penasihat keselamatan dengan ExxonMobil, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bertugas di pelantar minyak di Usan, Nigeria apabila tragedi itu melanda pada 17 Julai.

Pesawat Malaysia Airlines itu dipercayai telah ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu di timur Ukraine, dekat sempadan Russia semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat malang itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. – Bernama

Related Articles