Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun langkah kerajaan mengekalkan harga minyak masak peket amat dialu-alukan, namun terdapat kebimbangan baru mengenai sejauh mana bekalan ketika ini dapat menampung permintaan.
Katanya, peningkatan permintaan tidak dapat dielakkan kerana harga minyak masak dalam botol selepas ini tidak akan lagi ditentukan kerajaan dan pastinya akan ada pengguna yang beralih kepada minyak masak peket.
“Minyak masak peket berkemungkinan besar akan berdepan masalah kekurangan bekalan dan jika ini berlaku akan menyukarkan pengguna. Justeru, saya berharap kementerian dan pengilang akan meneliti kemungkinan ini dengan menyediakan pelan terbaik,” katanya, memetik Utusan Malaysia.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berikutan penstrukturan semula subsidi yang menyaksikan harga minyak masak peket satu kg kekal RM2.50 manakala minyak masak botol yang lebih besar ditentukan mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November ini.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan kerajaan mengekalkan harga minyak masak peket cukup melegakan rakyat yang sebelum ini gelisah apabila terdapat khabar angin barangan kawalan itu akan dinaikkan.
Katanya, pada masa sama, kerajaan diharap dapat mencari mekanisme baharu dengan memberikan subsidi kepada yang lebih memerlukan sekiranya harga minyak sawit di pasaran antarabangsa terus melonjak.
“Ini yang saya harapkan. Biarlah barangan yang diberikan subsidi dinikmati mereka yang memerlukan. Bukannya sewenang-wenangnya diseludup dan dibeli penduduk negara jiran,” ujarnya.