Keislaman tak terjejas dengan makan ‘hot dog’, kata Nazri Aziz

Beliau sebaliknya berkata, pertikaian yang timbul membabitkan perkataan itu dalam menu makanan dibuat oleh mereka yang jahil.

“Ini mengarut, dibuat oleh orang yang jahil. Mereka tidak hidup di dunia sebenar.

“Keislaman saya tidak akan terjejas hanya kerana makan hot dog, malah sekarang ni saya rasa nak makan hot dog,” katanya, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Isu berkenaan perkara itu timbul apabila Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengusaha restoran dan makanan perlu lebih sensitif dalam pemilihan nama menu atau produk bagi mengelakkan umat Islam keliru.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) tidak memberikan sijil halal kepada rangkaian francais, Auntie Anne kerana salah satu produknya dinamakan sempena nama anjing, “pretzel dog”.

“Nama-nama seperti dog (anjing), babi, bir, itu semua perlu dielakkan. Kalau dibiarkan akan menimbulkan kekeliruan.

“Jakim semestinya perlu berhati-hati dalam memberikan sijil halal kepada syarikat pengeluar makanan agar tidak timbul isu selepas sijil halal diberikan nanti,” katanya.

Sementara itu, bersependapat dengan Nazri, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz yang ditemui di Parlimen berkata, status halal atau haram sesuatu makanan bergantung kepada kandungannya dan bukan pada nama makanan tersebut.

“Hot dog ni orang kenal, (perkataan) sudah lama. Kewajipan sesebuah syarikat ialah mendapatkan sijil halal, dan jangan bagi nama yang mengelirukan,” katanya, yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.

 

Related Articles