Kehadiran Tun Mahathir ke Parlimen hanya gimik politik

by SM Amin

Kemunculan pertama kali sebagai pembangkang membuktikan Tun Mahathir dan parti pembangkang berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa hadir ke Parlimen untuk mempersoalkan imuniti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Tindakan ahli Parlimen pembangkang menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen menunjukkan mereka begitu terdesak sehingga perlu mendapatkan sokongan daripada pihak luar.

“Saya berpandangan kehadiran Tun Dr Mahathir tidak akan membawa apa-apa makna kepada sistem Parlimen hari ini,” kata Azalina dalam kenyataan, hari ini.

Tun Mahathir tiba di Parlimen jam 10 pagi tadi untuk menghadiri mesyuarat bersama pimpinan pembangkang sebelum menghadiri taklimat pada jam 11 pagi mengenai imuniti ahli Parlimen di bilik taklimat Parlimen di sini.

Mengulas lanjut dakwaan pembangkang kononnya mereka tidak mempunyai kebebasan untuk bersuara, Azalina menegaskan mana-mana ahli Parlimen boleh membawa usul menggunakan peraturan mesyuarat sedia ada.

Jelas Azalina, mendiang Karpal Singh pernah berbuat demikian bagi membincangkan soal penahanannya di bangunan Parlimen sebelum ini sehingga tertubuhkannya Jawatankuasa Pilihan yang turut dianggotai pemimpin pembangkang.

“Saya hairan kenapa pembangkang tidak menggunakan Peraturan Mesyuarat sedia ada bagi membawa usul untuk dibincangkan sesuatu perkara yang tidak dipersetujui di dalam Dewan Rakyat.

“Usul (Karpal) itu telah diluluskan dan satu Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut. Jawatankuasa yang dibentuk itu turut dianggotai oleh Ahli Parlimen BN dan Pembangkang yang mana Lim Kit Siang (Ipoh Timur) juga antara ahlinya.

“Dewan Rakyat mempunyai mekanisme dan prosedur tersendiri untuk mengadili sesuatu perkara itu secara adil dan saksama,” katanya.

Related Articles