Kegemilangan Proton kembali lepas tamat era Dr Mahathir, kata Najib

Najib berkata, terdapat terlalu banyak campur tangan politik dalam strategi, pengurusan termasuk kakitangan dan model perniagaan Proton sehingga menyebabkan syarikat kebanggaan negara itu berdepan keadaan sukar.

“Kerajaan melangkah masuk semula, bertujuan melindungi pekerja, keluarga di Malaysia yang bergantung kepada Proton, dan untuk melindungi pendapatan dan mata pencarian rakan kongsi perniagaan syarikat ini. Kami lakukan ini demi menjaga kesejahteraan rakyat.

“Sekarang, saya gembira untuk katakan bahawa terdapat perubahan yang ketara pada peringkat tertinggi pengurusan Proton. Era campur tangan politik Tun Dr Mahathir (Mohamad) telah berakhir.

“Kini adalah masa untuk belajar daripada pengajaran dan memastikan pendekatan serius serta pembaharuan dilaksanakan bagi meletakkan kembali syarikat di landasan tepat sekali gus mencapai potensinya.

“Kita mahu Proton kembali berjaya dan kerana itu syarikat ini akan dibantu Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan baru-baru ini,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Proton Perdana baharu generasi keempat, pada Selasa.

Berkuat kuasa 30 Mac lalu, Dr Mahathir berundur sebagai pengerusi Proton, jawatan yang beliau sandang sejak 2014.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa Proton tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya, tanpa keupayaan penyelidikan dan pembangunan yang betul dan skala pengeluaran yang diperlukan untuk kekal berdaya saing.

Katanya, sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1983, kerajaan sudah menyediakan geran, pelbagai bentuk bantuan serta pengecualian cukai jualan kepada Proton untuk jumlah hampir RM14 bilion.

“Pada April lalu, kerajaan meluluskan pinjaman RM1.5 bilion, ini bukan ‘bailout’, kerana pinjaman ini diberikan dengan syarat ketat. Tetapi keperluan mendesak untuk suntikan tunai menunjukkan bahawa terdapat kelemahan struktur yang serius dalam Proton.

“Ya, Proton berkembang, tetapi hanya disebabkan oleh bantuan berterusan kerajaan. Industri automotif kita berkembang di bawah lembayung perlindungan, dengan kuota ke atas saiz enjin dan rakyat Malaysia membayar duti import yang tinggi ke atas kereta import. Proton boleh melakukan apa sahaja kerana kerajaan akan sentiasa menyokongnya,” katanya.

Related Articles