Perdana menteri berkata peluang harus diberikan kepada anggota Parlimen Ketereh, Kelantan itu untuk membersihkan namanya daripada tuduhan berkaitan salah guna kuasa berkaitan penajaan agensi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pasukan bola sepak Kelantan.
“Beliau sanggup disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi diri beliau peluang untuk bersihkan nama daripada sebarang tuduhan.
“Biarlah proses (siasatan) ini berjalan dan kita tidak boleh buat apa-apa tafsiran dan anggapan sehingga proses ini selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kedudukan Annuar dalam Umno susulan disiasat SPRM, selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Paloh Hinai di Pekan pada Rabu.
Najib yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut bertanya khabar kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat itu sejak Isnin lepas.
Terdapat 74 mangsa banjir daripada 19 keluarga ditempatkan di situ.
Mara semalam menggantung tugas Annuar sebagai pengerusi agensi itu dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan sebulat suara berhubung penggantungan tugas Annuar itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Anggota Majlis MARA Datuk Dr Yusof Yacob di ibu pejabat agensi tersebut.
Penggantungan itu dibuat bagi membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.
Berikutan penggantungan itu, kedudukan Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan anggota dan kepimpinan parti itu.
SPRM semalam mengesahkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.- Bernama