Kebocoran gas kilang kimia, penduduk Menglembu mahu operasi dipindah segera

Mereka mendakwa satu insiden kebocoran gas berpunca daripada tangki bahan kimia pada pagi Sabtu lepas menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan berkenaan.

Turut bersama penduduk dalam bantahan itu ialah Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang menentut pihak berkuasa, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bertindak segera dalam perkara ini.

“Penduduk sudah takut dan panik selepas insiden kebocoran gas itu apabila dua pekerja kilang itu serta enam anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam tugas menyelamat terjejas dari segi kesihatan dan sedang dirawat di Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

“Saya mahu aspek keselamatan kilang itu diperiksa kerajaan dengan kadar segera dan mahu ia dipindahkan ke kawasan lain yang jauh dari penduduk demi keselamatan,” katanya.

Seorang penduduk Shanmugam mendakwa sejurus selepas kebocoran itu, bau busuk gas itu memeningkan kepala selain menyukarkan pernafasan sebelum mengunci rumah dan duduk di dalam selama lebih empat jam.

“Kami takut dan panik kerana selepas insiden itu, pokok dan tumbuhan hijau di perumahan kami bertukar warna, anak-anak kami juga jatuh sakit, sesak nafas dan sakit mata,” keluhnya lagi.

Seorang lagi penduduk Jeyaseelan pula mempersoalkan jaminan keselamatan untuk penduduk sekitar jika berlaku bencana berskala besar dari kilang kimia itu pada masa akan datang.

“Kami tidak sanggup hidup dalam ketakutan selepas ini, kami nak kilang itu dipindahkan ke lokasi lain jauh dari kawasan perumahan kampung Baru ini.

“Kami memang tidak puas hati dengan pengurus kilang itu yang langsung tidak mementingkan soal keselamatan penduduk sekitar kilang itu. Ini suatu tindakan tidak boleh dibiarkan berlarutan lagi,” ujarnya lagi. –Tamil Nesan

Related Articles