KEB Gariskan Lebih 80 Resolusi Perkasa Bumiputera

PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang melabuhkan tirainya, hari ini, menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera.

Resolusi itu diperoleh daripada hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.

Antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), iaitu menetapkan satu badan atau organisasi untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Selain itu, berkaitan kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, antara resolusi yang digariskan ialah mengenai mengukuhkan sistem pendidikan Islam, memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata apa yang penting bukan jumlah resolusi, sebaliknya bagaimana perinciannya diteliti untuk diabsah dan dilaksanakan.

“Setiap kluster purata (resolusi) ada lapan, ada juga yang lebih, maknanya daripada 10 kluster, (ada) lebih 80 resolusi, namun kita merasakan yang penting bagaimana resolusi ini dapat dilaksanakan.

“Pada hemat saya, dua kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi, di mana sekretariatnya adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri sebagai agensi yang melaksanakan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selain pendidikan, KEB 2024 memberikan fokus khas kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak, serta masyarakat Orang Asli, industri halal, penguasaan teknologi baru dan bernilai tinggi.

Hasil dapatan kongres itu bukan menjadi titik akhir penyelesaian segala permasalahan Bumiputera, sebaliknya ia menjadi langkah yang perlu diambil kerajaan walaupun jalannya panjang, sukar serta berliku.

KEB 2024 juga diharap dapat memandu kerajaan merangka dasar atau program baharu berkaitan Bumiputera yang lebih tepat dan efektif serta memenuhi kehendak semasa dan masa depan negara. –Berita Harian Online

Related Articles