Keadaan kanak-kanak lelaki dirempuh go-kart bertambah baik

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Datuk Dr. Ardi Awang berkata, imbasan CT semalam terhadap kanak-kanak itu menunjukkan tiada kecederaan dalaman yang serius termasuk tiada tulang patah.

“Cuma muka bengkak sedikit di bahagian pipi yang disebabkan oleh kecederaan tisu lembut dan kelopak mata juga agak membengkak yang mana selepas ini kanak-kanak tersebut akan menjalani pemeriksaan mata,” kata beliau.

Dr. Ardi berkata, pemeriksaan ultra sound yang dijalankan terhadap Muhammad Izz Daniel juga tidak menunjukkan sebarang kelainan dalam perutnya dan kesakitan dalam perut dialami kanak-kanak itu berkurangan.

Bagaimanapun, beliau berkata kanak-kanak berkenaan masih berada dalam pemantauan pihak hospital dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, ayahnya Izwan Isa, 39, dan adik perempuannya Nur Zulaikha, 5, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HTAA manakala ibunya Siti Suhaiza Seman, 38, cedera ringan.

Universiti Teknologi Malaysia adalah penganjur perlumbaan itu bersama kerajaan negeri Pahang menerusi Tourism Pahang.

Dilaporkan kemalangan tersebut berlaku apabila tiga kenderaan go-kart itu bergesel sesama sendiri dalam perlumbaan mengakibatkan sebuah daripada kenderaan itu terbabas lalu merempuh mangsa. – Bernama

 

Related Articles