KDN tidak halang mana-mana pihak berdemonstrasi

“Kita (KDN) tidak halang mereka, asalkan mereka mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, di mana penganjur harus meminta kebenaran daripada tuan punya tapak sebelum mengadakan perhimpunan.

“Jadi, tak salah jika mereka hendak berdemonstrasi, tetapi salah jika mereka tidak ikut undang-undang,” kata beliau ketika diminta mengulas mengenai demonstrasi anti-kerajaan di ibu negara pada Sabtu.

Nur Jazlan berkata mereka seharusnya menghormati undang-undang negara kerana tindakan meneruskan demonstrasi tanpa kebenaran tuan punya tapak, seolah-olah bertentangan dengan apa yang mereka perjuangkan.

“Saya berharap anak-anak muda ini, dalam keghairahan mereka untuk menggunakan hak bersuara, jangan mereka angkuh dan tidak menghormati undang-undang,” katanya.

Ketika ditanya kesan daripada demonstrasi itu, Nur Jazlan berkata tindakan mereka tidak akan mendatangkan hasil kerana demonstrasi jalanan bukanlah medium terbaik untuk melakukan perubahan.

“Rakyat sudah jemu untuk berdemonstrasi, saya rasa rakyat menunggu pilihan raya umum akan datang untuk membuat keputusan.

“…itulah cara demokrasi yang terbaik untuk menentukan kerajaan, bukannya dengan cara mengadakan demontrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan,” katanya. – Bernama

Related Articles