KDN semak fakta libat pemimpin NGO disenarai pengganas

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membuat semakan fakta berhubung tindakan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menyenaraikan tiga rakyat Malaysia sebagai pengganas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sedia maklum mengenai perkara tersebut menerusi laporan media dua hari lalu.

“Saya telah menghubungi Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) dan juga untuk memberikan gambaran lebih jelas dan tepat berkenaan dengan perkara tersebut.

“Yang saya tahu adalah FBI telah membuat ‘request’ (permohonan) berkenaan dengan perkara itu,” katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang media selepas membuka Pejabat Pasport Imigresen Shaftbury Putrajaya pagi tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin juga menambah, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu mengenai isu tersebut sebelum tampil dengan sebarang tindakan susulan.

“Jadi kita kena semak dulu fakta yang lebih tepat dalam perkara ini.

“Lagipun, saya tidak bersedia untuk memberi fakta yang tangkap muat atau samar-samar,” tegasnya lagi.

Minggu lepas, media melaporkan bahawa tiga pemimpin badan bukan kerajaan di Malaysia telah tersenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas FBI.

Abu Bakar Abdul dari Dunia Melayu Dunia Islam, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dari Cinta Syria Malaysia antara tiga pemimpin yang tersenarai dalam senarai tersebut.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut terlibat secara aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat.- MalaysiaGazette

Related Articles