KDN beri kata dua kepada pembekal pasport

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, syarikat pembekal yang baharu dilantik itu perlu membuktikan komitmennya sebagaimana perjanjian dalam kontrak dan bukannya mencari salah mana-mana pihak dalam isu tersebut.

Pada masa yang sama, beliau juga mahu syarikat pembekal tersebut menghentikan segera segala kenyataan akhbar, sebaliknya perlu fokus kepada kerja hakiki iaitu membekal pasport dan memastikan masalah serupa tidak berulang.

“Vendor pasport ini perlu berhenti bertelagah, pastikan pembekalan pasport dapat berjalan dengan lancar semula. Isu ini menyusahkan rakyat yang mahu membuat serta memperbaharui pasport mereka dan saya terima banyak rungutan.

“Kakitangan Imigresen sudah bertungkus-lumus bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat tetapi disebabkan masalah melibatkan vendor, rakyat terpaksa menerima kesannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Malam Penghargaan Rakan Perniagaan KL Sogo Ke-22 di sini malam ini.

Media sejak beberapa hari lalu melaporkan mengenai rungutan orang ramai yang terpaksa beratur panjang serta menunggu lama bagi membuat atau memperbaharui pasport, sedangkan sebelum ini proses tersebut hanya mengambil masa sejam.

Selain Kuala Lumpur, masalah berkenaan turut berlaku di negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak apabila jumlah pasport yang dimiliki pihak Imigresen jauh lebih sedikit berbanding permintaan daripada orang ramai.

Ditanya mengenai bentuk tindakan yang akan diambil ke atas syarikat pembekal itu, Nur Jazlan berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang meneliti kontrak vendor terbabit dan tidak menolak kemungkinan menyarankan agar Kementerian Kewangan bertindak.

“Keputusan itu terletak kepada Kementerian Kewangan kerana mereka yang meluluskan kontrak, tetapi jika tidak memenuhi syarat dalam kontrak, saya rasa Kementerian Kewangan perlu mengambil tindakan,” katanya. – Utusan Online

Related Articles