Kawasan Selangor Utara Dikenal Pasti Laluan Tikus PATI

KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengenal pasti lokasi panas atau lorong tikus dipercayai menjadi laluan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengarah, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad, berkata utara Selangor, khususnya di sekitar kawasan industri perikanan antara lokasi tumpuan laluan PATI untuk menyeludup masuk dan keluar negara ini secara haram.

Ia, katanya, disebabkan kedudukan geografi kawasan berkenaan yang terbuka dan hampir dengan perairan sempadan.

“Risikan awal mendapati cubaan untuk keluar secara haram melalui lokasi berkenaan telah dikesan sejak awal Ramadan lagi. Bagi menangani pergerakan itu, Maritim Malaysia Selangor telah mendapatkan bantuan ibu pejabat untuk membantu dari aspek risikan,” katanya.

“Kepada sindiket ini, khususnya rakyat tempatan, saya ingatkan jangan cuba libatkan diri. Tindakan anda dipantau rapat, sebaiknya anda jadilah mata dan telinga kami untuk sama-sama membanteras kegiatan ini demi negara,” katanya.

Abdul Muhaimin berharap kerjasama erat Maritim Malaysia dan MKN dapat ditingkatkan, terutama dalam aspek perkongsian maklumat bagi mencegah kegiatan jenayah di kawasan perairan negara.

Beliau berkata kerjasama strategik antara pihak berkuasa keselamatan itu telah menyumbang kepada kejayaan Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan jenayah, antaranya mematahkan cubaan penyeludupan dadah disyaki syabu bernilai RM1.32 juta, awal bulan lalu. – Bernama

Related Articles