Kaum dan agama tidak sepatutnya jadi tawaran politik

by SM Amin

Tun Musa Hitam bersungguh-sungguh mengecam ahli politik yang menghasut sentimen perkauman dan agama. Beliau dengan lantangnya menyatakan hanya ‘ahli politik yang miskin idea’ sahaja yang menggunakan isu perkauman dan agama sebagai cip tawar-menawar dalam politik.

Walaupun bekas TPM ini sudah bersara hampir 30 tahun namun penggunaan isu perkauman dan agama sebagai cip tawar-menawar sehingga kini masih lagi berlaku dalam masyarakat kita. Kita melihat segelintir pemimpin hanya memperjuangkan kepentingan kaum dan agama tertentu sahaja.

Ahli politik yang tidak berhati perut akan menggunakan isu perkauman sebagai satu senjata utama. Ini kerana sebarang isu boleh dilihat ‘baik atau buruknya’ melalui isu perkauman. Walaupun penulis menghormati kepercayaan orang lain namun penulis berpendapat agama dan kerajaan perlu ada sempadan yang jelas.

Tidak syak lagi, memelihara agama dan menggalakkan tadbir urus yang baik memainkan peranan yang penting. Malah banyak isu yang berlaku hari ini mungkin hanya dapat diselesaikan dengan cara spiritual, contohnya keganasan, perkauman, kebencian dan masalah sosial.

Walaupun kita sepatutnya ada sempadan yang jelas antara agama dan tadbir urus namun kedua-dua perkara ini saling bergantung antara satu sama lain, barulah ia dapat membina sebuah negara yang makmur. Semua agama besar mengutamakan bimbingan kerohanian dalam memahami nyawa dan kehidupan. Ideologi ini boleh memulihkan semula etika masyarakat.

Sebagai seorang penganut Buddha, penulis tidak merasakan agama Buddha perlu bercampur dengan perundangan atau cara kerja kerajaan secara teknikalnya. Namun nilai dan ajaran sejagat perlu ada dalam kerajaan seperti amanah, tidak menyakiti hidupan dan sebagainya. Penulis percaya ia adalah ajaran semua agama. Walau bagaimanapun, Tun Musa Hitam menyatakan “terlalu ramai ahli politik ingin menjadi pemimpin agama dan terlalu ramai pemimpin agama mahu menjadi ahli politik.”

Dalam kempen pilihan raya atau ceramah politik, ramai ahli politik menggunakan istilah agama bagi menunjukkan mereka alim. Sehinggakan orang ramai mengangkat status mereka berada di ‘kedudukan tinggi’. Ia berlaku semasa ahli politik kekurangan hujah yang berkaitan kemajuan dan pembangunan negara. “Saya melihat satu fenomena yang sangat pelik, antaranya, ramai orang yang mulai belajar al-Quran demi menunjukkan mereka alim dalam agama. Hakikatnya, mereka hanya belajar beberapa potong ayat sahaja untuk membuatkan penonton tertarik.”

Ramai juga ustaz semasa berdakwah cuba untuk menyokong ahli atau parti politik tertentu. Memang benar, ustaz ada kuasa untuk sokong orang yang disukai mereka namun mereka sepatutnya hanya dibenarkan membuat pandangan politik dalam majlis tidak rasmi. Ustaz adalah tokoh yang berpengaruh dan dihormati, oleh itu mereka tidak sepatutnya mempengaruhi orang lain dalam politik. Sebaliknya mereka perlu memandu orang ramai ke arah nilai sejagat contohnya kepimpinan amanah dan baik supaya rakyat dapat menilai sendiri siapa pemimpin yang baik.

Kerajaan yang baik tidak perlu pilih kasih dan sepatutnya membiarkan semua agama bebas berkembang. Kerajaan perlu menilai kebebasan dan mengikut suara hati sendiri. Agama yang baik tidak boleh menyokong atau menentang mana-mana ahli atau parti politik. Kepercayaan mereka perlu bebas berfikir bahkan menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti politik serta menyokong ahli politik atau parti politik mereka yang dirasakan paling sesuai. Agama sepatutnya tidak menjadi alat untuk mendapatkan cip tawar-menawar dalam politik. – Kwong Wah Yit Poh

Related Articles