Surat perisytiharan itu dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara pada Selasa:
“Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-raja.
Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Maka oleh yang demikian Beta, Sultan Muhammad V, dengan ini mengisytiharkan bahawa Beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.
Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di Ibu Negara Beta di Kuala Lumpur pada tiga belas haribulan Disember dalam tahun dua ribu enam belas”. – Bernama