Kanak-kanak lelaki mati lemas di taman tema air

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan mandi-manda selepas kira-kira 20 minit mendaftar masuk ke taman tema itu pada pukul 3.30 petang.

“S. Rishither, 6, ditemukan lemas oleh bapanya S. Surentharan di sebuah kolam renang yang mempunyai kedalaman lima kaki, tidak jauh dari tempat keluarganya mandi-manda pada 3.50 petang,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Katanya pihak pengurusan taman tema membantu keluarga itu membawa mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Beliau berkata kes itu dikategorikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

“Hasil keterangan daripada keluarga mangsa, mereka menyatakan bahawa mereka terdiri daripada dua keluarga seramai sembilan orang datang dari Taman Pelangi, Kluang, ke taman tema air ini untuk berkelah sempena cuti Deepavali,” katanya. – Bernama

 

Related Articles