Kazim yang juga Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah berkata dakwaan yang dilemparkan pihak tertentu dianggap isu serius dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang mencemari imej pusat pendidikan.
“Kami tidak berkompromi dalam apa cara sekalipun jika ia benar berlaku.
“Kami akan menyerahkan siapa juga yang terbabit kepada pihak berkuasa untuk dihukum mengikut lunas undang-undang walaupun darah daging saya sendiri.
“Ini adalah tanggungjawab kami sebagai umat Islam dan warga negara,” katanya pada sidang media di Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh pada Jumaat.
Terdahulu Kazim menjelaskan sidang media berkenaan diadakan bagi menjawab dakwaan berlaku gangguan seksual dan liwat didakwa membabitkan pelajar Maahad Tahfiz Darul Barakah kelolaan pendakwah dikenali sebagai Ustaz Kazim itu.
Malah katanya pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah dan menyebarkan fitnah berkenaan hingga memberi imej tidak baik kepada Islam serta pusat pendidikan berkenaan.
“Saya juga akan membuat tiga atau empat laporan polis berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh esok,” katanya.