Menurut salinan laporan polis yang viral di media sosial dan aplikasi mesej sosial, wanita tersebut terkejut dengan keadaan fizikal adiknya apabila mereka terserempak di hadapan sebuah bank dekat Taman Perling pada Sabtu, kira-kira pukul 8.20 malam.
Lelaki berusia 21 tahun itu, seorang jurujual aksesori kereta mengalami kecederaan di bahagian badan dan didakwa dikurung serta didera oleh majikannya.
Mangsa dilaporkan hilang kerana tidak pulang ke rumahnya di Mersing untuk beberapa ketika.
Ketika ditanya mengapa dia tidak pulang ke rumah keluarganya, lelaki itu hanya menjawab dia tidak boleh meninggalkan kerjanya.
Wanita itu cuba menghubungi mangsa malah pergi ke tempat kerjanya tetapi tidak dapat bercakap atau mencari adiknya itu.
Dia mendakwa telah menghubungi majikan adiknya tetapi dimaklumkan mangsa sedang bertugas.
Difahamkan keluarga lelaki itu kemudian mencari mangsa di rumah majikannya di Taman Johor Jaya pada Selasa di mana mereka mendakwa menjumpainya dalam keadaan lemah.
Mangsa didakwa mengalami kecederaan di seluruh badan termasuk ada kesan parut di kedua-dua belah tangan, lepuh di sekeliling mulut, bengkak dan pendarahan dalam mulut dan telinga serta kecederaan parah pada badan dan juga tapak kakinya.
Dua laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu di Balai Polis Taman Perling dan Taman Johor Jaya masing-masing pada 9 dan 10 Januari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata mangsa dipercayai ditumbuk, ditendang dan dipukul dengan rotan oleh suspek iaitu majikannya.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan susulan.
“Polis masih mengesan suspek kerana mereka hilang sejak mangsa meninggalkan rumah tersebut,” katanya memetik mStar Online