Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kejadian berlaku pada kira-kira 2 petang Jumaat di Plaza Tol Seafield, Subang Jaya dekat Shah Alam.
“Badan lori tiga tan yang membawa muatan besi buruk itu tersangkut dan mengheret pondok tol berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya jurutol berkenaan, wanita berumur 38 tahun hanya cedera ringan dan telah dikeluarkan dari pondok tol itu sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.
Katanya, bomba menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada kira-kira 2.08 petang dan tiba di tempat kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
Seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian. – Bernama