Jurutera kanan ditahan, terima rasuah lebih 30 projek

Rasuah yang diminta itu sebagai dorongan untuk memastikan kontraktor berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan dalam projek-projek di Daerah Sik.

Suspek berusia 56 tahun yang ditahan di kediamannya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar kira-kira jam 11.30 pagi itu dipercayai telah menerima wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor melibatkan lebih 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan sejak tahun 2012.

Sumber berkata, SPRM dalam proses mengumpul maklumat daripada kontraktor-kontraktor kroni yang dipercayai dipaksa untuk memberi wang suapan kepada suspek sekiranya ingin mendapat tawaran kerja daripada suspek.

Katanya, SPRM juga sedang menyiasat jumlah wang suapan yang telah diterima oleh suspek dan suspek dipercayai telah menerima wang suapan daripada sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan itu empat tahun lalu.

Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi permohonan sebut harga .

Jelas sumber, sekiranya kontraktor-kontraktor berkenaan enggan membayar wang rasuah yang diminta, suspek bukan setakat tidak akan mengeluarkan inden kerja malah akan menyenaraihitamkan kontraktor tersebut.

Kata sumber lagi, kesemua pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

Tambah sumber, untuk 2016 sahaja, suspek dipercayai telah menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh orang kontraktor yang mempunyai kepentingan dan dipercayai telah menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM650,000.

Menurut sumber lagi, SPRM telah menyita fail-fail sebut harga bagi projek kerja di Daerah Sik, Kedah pada 2016 ketika melakukan penggeledahan di pejabat suspek pada jam 8.30 pagi.

Kata sumber, seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan serta tujuh orang kontraktor kroni turut dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Tambah sumber, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Alor Setar mulai hari ini sehingga 25 Januari depan. -Sinar Harian Online

Related Articles