Juruteknik mengaku tidak bersalah galakkan keahlian pengganas

Nor Hafizy Che Meh, 39, didakwa telah menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Daesh di rumah beralamat lot 6846-F, Lorong Kemboja, Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya, Selangor antara Disember 2013 hingga Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa telah membenarkan perjumpaan berkaitan kumpulan pengganas di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130G(b) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim, Datuk Azman Abdullah menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P.Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Fadhly Yaacob.

Pada 8 Jun lalu, Nor Hafizy didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kesalahan tersebut tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. – Bernama

Related Articles