KUALA LUMPUR: Tiga Matlamat, Enam Tekad dan Tiga Ikhtiar pemerkasaan bumiputera dizahirkan bagi menjamin penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sinergi antara kaum menjadi pemangkin aktiviti ekonomi negara selain mengikis kaitan aktiviti ekonomi dengan identiti kaum selari dengan hasrat Dasar Ekonomi Baru.
“Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan, menuntut semua kaum bahu- membahu membangunkan negara.
“Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Ahmad Zahid menambah, KEB kali ini mengubah destini bumiputera dengan melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB sebagai satu dasar baharu yang progresif bertujuan merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, bagi memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, tiga matlamat utama digariskan iaitu keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa; serta kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Menjayakan matlamat itu katanya, enam tekad sebagai rukun dilandaskan supaya bumiputera bergerak sederap untuk mencapai cita-cita yang diinginkan bersama.
“Ia merangkumi mempertahankan agenda Bumiputera, menutup ketirisan pelaksanaan, mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok, mengenal pasti peluang baharu, mewujudkan jalinan tulen selain menjamin tidak meminggirkan kaum lain.
“Tekad ini menumpukan kepada tiga ikhtiar yang mampu melonjakkan ekonomi bumiputera yang lebih terangkum dan mampan menjelang satu abad negara merdeka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, antara ikhtiar berkenaan termasuklah perbadanan tanah Bumiputera yang akan merangka mekanisme pemilikan tanah, Waqaf Kesihatan dan Pendidikan serta Mengindustrikan Pertanian menggunakan teknologi dan inovasi baharu melalui sebuah entiti.
Sementara itu, KEB 2024 membawa tema Positif. Progresif. Inovatif, menjadi platform menetapkan hala tuju serta pendekatan baharu Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MadaniKongres yang bermula hari ini selama tiga di melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) meliputi 10 kumpulan.
Kumpulan ini meliputi Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama, Pengukuhan Industri Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.
Sepuluh kumpulan ini dipengerusikan tokoh dalam bidang ekonomi, industri, pendidikan dan lain-lain bagi mendapatkan maklum balas terutamanya dari akar umbimenerusi pendekatan bottom up. – MalaysiaGazette