KUALA LUMPUR: Seorang pemilik stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu tuduhan menjual petrol RON95 bersubsidi kepada pemilik kenderaan warga Thailand, dua bulan lalu.Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Nor Rajjah Mat Zin.Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman pada 26 April depan.Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual barang kawalan berjadual petrol RON95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand.Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada jam 9.16 pagi, 1 Januari lalu.Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Hannah Abd Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Nor Wahidah Muhammad sementara OKS diwakili peguam, Muhammad Syahmi Akif Jamili.Sebelum ini, media melaporkan, KPDN Selangor menjalankan siasatan berhubung kes tular sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, siasatan itu membabitkan aduan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi RON 95 di stesen minyak berkenaan yang mana hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan kejadian berlaku pada tarikh berkenaan.Katanya, seorang lelaki disyaki warga Thailand membayar RM100 di kaunter bayaran untuk membeli minyak berkenaan dan semakan pada resit jualan mendapati kereta itu mengisi minyak petrol RON 95 sebanyak 48.8 liter.
12