JPJ Mohon Maaf Isu Gambar e-LMM, Nafi Ada Kecurian Identiti

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memohon maaf berhubung isu paparan gambar pemilik Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang berlainan dengan maklumat pemilik sebenar.

Menurut JPJ, perkara tersebut berlaku ketika pasukan teknologi maklumat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sistem yang dibuat secara berkala bagi memastikan kelestarian sistem MyJPJ.

“Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa perkara ini telah diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan serta-merta,” kata JPJ menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, seorang pengguna platform Xmeluahkan kegusaran apabila mendapati gambar berukuran pasport dalam Lesen Belajar Memandu di aplikasi MyJPJ bukan dirinya meskipun maklumat semuanya betul.

Selain itu, JPJ juga mengesahkan dan memberi jaminan tiada sebarang unsur penyalahgunaan sistem mahupun kecurian identiti maklumat pemegang lesen memandu.

“Sebaliknya segala maklumat adalah terpelihara dan selamat.

“JPJ akan sentiasa menambah baik sistem dari semasa ke semasa bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan digital yang terbaik kepada rakyat,” kata JPJ lagi. – MalaysiaGazette

Related Articles