JKM Cari Waris Bayi Perempuan Yang Ditinggalkan Di Sebuah Restoran Dua Tahun Lalu

by Anis

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri sedang mencari waris keluarga kepada kanak-kanak perempuan peliharaan mereka, Maryam Alissa Abdullah, 2, sejak dua tahun lalu.

Pelindung Melaka Tengah, Hannah Litin berkata, kanak-kanak berkenaan dijumpai ketika masih bayi di Taman Mutiara, Batu Berendam, di sini, pada 4 Februari 2022.

Selepas itu, kanak-kanak berkenaan diletakkan di bawah jagaan sementara pasangan berusia 35 tahun itu.

Menurutnya, ketika ditemui, kanak-kanak perempuan itu diletakkan di dalam sebuah bakul pakaian dobi dan telah diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu atau waris kanak-kanak ini diharap dapat membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Melaka Tengah 06-3333333,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui masih hidup dan mempunyai kesan darah serta masih bertali pusat di hadapan sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi tersebut daripada orang awam pada pukul 7 pagi.

Tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi terbabit yang tidak berpakaian dan hanya beralaskan kain batik di dalam bakul pakaian itu. – MalaysiaGazette

Related Articles