Video: Jika faham tujuan BERSATU, beri kerusi pada kami, kata Muhyiddin kepada pembangkang

by SM Amin

Beliau yang merupakan Presiden penaja BERSATU berkata pihaknya sudah mempunyai data kawasan-kawasan sasaran parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan berharap pembangkang melepaskan kerusi-kerusi tersebut.

“Ini akan bersandar kepada rundingan buat sementara itu kita ada maklumat dan data yang telah kita perincikan tentang mana-mana kawasan yang dianggap sesuai.

“Mungkin sebahagian kerusi ini sudah diagihkan kepada PAS atau PKR tetapi kalau mereka faham bahawa tujuan kita untuk sama-sama berkerjasama maka asas-asas rundingan itu akan kita lakukan.

“Kita sudah ada data-data yang disebutkan tadi kita mungkin boleh kira tentang kenapa BERSATU ditubuhkan. Memang ada sebab-sebab taktikal dan juga strategi yang kita buat begitu,” katanya.

Beliu berkata demikian dalam sidang media memperkenalkan dan tujuan BERSATU ditubuhkan di Petaling Jaya di sini.

Bagaimanapun kata Muhyiddin, apa yang paling penting adalah parti yang bertanding boleh memenangi kerusi tersebut.

“Sesiapa sahaja yang boleh meraih kemenangan dan parti itu boleh menunjukkan dia benar-benar meraih sokongan sebahagian besar undi dikawasan yang kita tandingi maka parti itu harus diberikan peluang untuk bertanding di kawasan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerjasama dengan parti-parti pembangkang perlu kerana BERSATU tidak mampu bergerak secara bersendirian.

Susulan daripada itu kata Tun Mahathir, BERSATU dan parti-parti pembangkang perlu mencari titik persamaan bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

“Bagi kita dalam parti BERSATU ini kita tidak tolak untuk kerjasama dengan parti-parti lain kerana kalau nak menang adalah lebih baik kita tidak sesama kita berlawan. Itu akan menentukan kita akan kalah.

“Tujuan kita dalam parti ini adalah mencapai kemenangan dan mengambil bahagian dalam sebuah kerajaan dan kita akan timbang dan kita akan cari titik persefahaman antara parti yang bergading dengan kita,” katanya.

Berikut adalah pautan video di sidang media BERSATU yang berlangsung hari ini: 

https://www.youtube.com/watch?v=sKHaH8H9QaM&feature=youtu.be

 

Related Articles