KUCHING: Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tepat jam 4.26 petang tadi.
Jenazahnya diterbangkan dengan pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang pada jam 12.30 tengah hari dengan diiringi isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
Turut serta beberapa ahli keluarga termasuk semua empat anaknya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, Jamilah Hamidah dan Datuk Hanifah Hajar.
Ketibaan jenazah disambut dengan kawalan kehormat utama Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli dengan bacaan doa dan diakhiri dengan lagu Ibu Pertiwiku sebelum dibawa menggunakan kenderaan khas untuk dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, serta tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut berada di LTAK menyambut ketibaan jenazah.
Sebaik tiba, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Petra Jaya, di sini.
Esok, jenazah akan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak yang terletak berdekatan kediaman beliau untuk disolatkan sebelum disemadikan di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh Sarawak selama dua hari bermula hari ini dan esok dengan bendera Sarawak dan Jalur Gemilang dikibar separuh tiang.
“Sebarang acara yang membabitkan hiburan hendaklah ditangguhkan manakala masjid dan rumah ibadah agama lain adalah digalakkan mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Allahyarham.
“Kerajaan Sarawak merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dan mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat,” katanya. -Berita Harian