Jenazah Noriah selamat dikebumikan pagi tadi

Jenazah sebelum itu dibawa dari Lapangan Terbang Tentera Udara Malaysia ( TUDM) Subang tiba di Masjid Ar Rahmah, Sungai Burong di sini, kira-kira jam 1.10 pagi.

Suasana pilu kelihatan menyelubungi pekarangan masjid itu sebaik kenderaan yang membawa jenazah tiba di masjid berkenaan.

Memetik laporan Sinar Online, diangarkan kira-kira 5,000 penduduk termasuk empat anak arwah, saudara-mara, kenalan dan pemimpin menanti ketibaan jenazah.

Jenazah Noriah kemudiannya disembahyangkan di masjid itu dengan diketuai imam masjid, Mohd Shafiq Warno.

Selesai disembahyangkan, jenazah Noriah kemudianya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Pasir Panjang untuk dikebumikan.

Antara ahli politik yang turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak, Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik.

Turut kelihatan adalah pemimpin Pakatan Harapan iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Related Articles