Jemaah selesai tunai ibadat haji

Hari ini, 13 Zulhijah mengikut kalendar Islam, kesemua jemaah selesai melakukan lontaran di Sugra, Wusta dan Kubra.

Namun ada kalangan jemaah lebih awal selesai melakukannya apabila memilih ‘nafar awal’ iaitu menamatkannya pada Rabu.

Sebahagiannya pula memilih untuk bermabit pada malam 13 Zulhijah iaitu apa yang dinamakan sebagai ‘nafar thani’ sebelum menamatkan lontaran di tiga jamrah berkenaan.

Kini semua mereka yang bergelar ‘haji’ dan ‘hajah’ itu telah kembali ke Mekah dari Mina bagi persiapan pulang ke tanah air.

Sebelum meninggalkan Tanah Suci Mekah, mereka perlu melakukan ‘tawaf wada’ di Kaabah iaitu tawaf selamat tinggal.

Apabila pulang ke tanah air sudah semestinya jemaah akan membawa seribu kenangan bersama sepanjang berada lebih 40 hari di tanah suci.

Seramai 22,320 jemaah haji negara menunaikan ibadat haji musim ini dengan penerbangan pertama pada 4 Ogos lalu.

Sebanyak 47 penerbangan membawa mereka ke tanah suci sama ada terus ke Madinah atau Jeddah.

Sebelum menunaikan haji iaitu bermulanya wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah, jemaah lebih awal melakukan ziarah dan umrah. – Bernama

 

Related Articles