Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatan nombor satu negara itu yang kebiasaannya disandang Presiden UMNO, mengakibatkan penyandangnya sering difitnah dan berhadapan dengan politik kebencian.
Katanya, serangan itu bukanlah perkara baharu, malah telah berlaku sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang kedua-dua jawatan berkenaan.
Tohmahan dan serangan serupa berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui pemerintahan negara dan wujud usaha-usaha menanam kebencian dan menjatuhkan beliau.
“Lepas dua tahun (Abdullah memerintah), orang mula tanam benci kepadanya. Tiba-tiba semua tak kena (dan) akhirnya luka. Tukar orang lain yang lebih muda, berkarisma dan tegas, popular sekejap tapi sekarang dia pula kena serang,” katanya dalam temu bual dengan Bernama menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016 di pejabatnya di Kuala Lumpur pada Rabu.
Melihat kepada landskap politik negara, usaha merebut jawatan Perdana Menteri berlaku amat jelas sejak pilihan raya umum 2008 berikutan angan-angan pembangkang menawan Putrajaya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, sejak itu banyak politik kebencian dan kempen fitnah yang ditanam kepada rakyat bagi menjatuhkan sesiapa sahaja yang memegang jawatan Perdana Menteri.
“Perkara-perkara ini dirancang kerana perebutan kuasa, belum tentu benda yang dibawa itu adalah kebenaran.
“Selain itu, dengan adanya media baharu, ini memberi kelebihan kepada pembangkang sebab mereka menggunakan sepenuhnya,” katanya.
Mengambil contoh Datuk Seri Najib Tun Razak, Annuar berkata, pemimpin itu seolah-olah ‘tidak diendahkan’ apabila memegang pelbagai jawatan menteri, Ketua Pemuda UMNO sehinggalah menjadi Timbalan Presiden UMNO.
“Tapi bila dia mula duduk di situ (memegang jawatan Perdana Menteri), pelbagai serangan dan fitnah mula datang.
“Jadi, pada saya sentiasalah lihat pada sejarah dan saya yakin sekalipun kita turunkan Najib dan gantikan dengan sesiapa sahaja, mereka tetap akan hadapi kecaman yang sama,” tegasnya. – Bernama