Jawatan kami dalam parti baharu hanya sementara, kata Dr Mahathir

Beliau yang menjawat jawatan pengerusi dalam parti itu berkata hasrat penubuhan parti itu adalah untuk berkhidmat memulih semula rakyat dan negara yang kini terpalit dengan keburukan yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami pengasas parti baru berpendapat masa sudah tiba untuk rakyat menyelamatkan negara ini.

“Jika tidak segala-gala yang kita nikmati akan hancur-lebur dan kita dan anak cucu kita akan kembali menderita kemiskinan tanpa maruah,” katanya di laman blog miliknya, www.chedet.cc.

Melalui posting bertajuk ‘Surat Terbuka’, Dr Mahathir berkata Malaysia setelah Merdeka berjaya dibangun oleh rakyat Malaysia dan wakil mereka sehingga terkenal sebagai satu-satunya negara merdeka yang tinggi pembangunannya.

Sehubungan itu, banyak negara-negara dunia ketiga yang menganggap Malaysia sebagai negara contoh dan rakyatnya dihormati kerana kejayaan pentadbiran dan pembangunan negara mereka.

“Tetapi sekarang kita terkenal sebagai sebuah negara dimana rasuah amat tinggi dengan menteri kewangan yang terburuk sekali.

“Kita juga mempunyai seorang perdana menteri yang sedang disiasat kerana besar kemungkinan terlibat dengan money laundering (pembersihan duit haram) berbilion dolar Amerika Syarikat.

“Syarikat 1MDB kehilangan berbilion Ringgit. Di masa yang sama Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib mempunyai 2.6 bilion Ringgit dalam akaun peribadinya. Hutang Negara meningkat berbilion Ringgit,” kata Drahathir.

Beliau berkata, walaupun belanjawan negara kelihatan tinggi tetapi kementerian-kementerian, institusi dan agensi Kerajaan diarah kurangkan perbelanjaan sehingga 30 peratus.

Sementara itu beliau turut menyentuh kos sara hidup yang meningkat tinggi kerana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan cukai tanah, pengurangan subsidi minyak dan penarikan balik status bebas cukai Langkawi dan Labuan.

“Demokrasi dan pemerintahan mengikut undang-undang sudah tidak ada lagi. Pegawai ditukar dan diganti dengan pegawai yang setia kepada Najib supaya sanggup melakukan perkara yang salah apabila diarah.

“Jenayah dalam kerajaan dirahsiakan. Yang mendedah jenayah disoal, ditangkap, dipenjara dan dihadapkan ke mahkamah.

“Sesungguhnya keadaan dalam negara dan imej di luar negara amatlah buruk. Di luar negara rakyat malu mengaku sebagai orang Malaysia,” katanya.

Malah beliau turut berkata tiada kelihatan sebarang usaha untuk menghentikan jenayah dan memulih keadaan sebaliknya penekanan yang diberikan adalah kesetiaan kepada Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata Parti Bersatu yang ditubuhkannya bertujuan menjadi alat kepada rakyat yang benar-benar cintakan negara yang bertuah ini.

“Hasrat kami ialah untuk berkhidmat memulih semula rakyat dan negara.
Demokrasi dan pemerintahan berasas undang-undang akan kami kembalikan.
Segala kelemahan yang boleh disalahguna oleh pemimpin yang dipilih akan dihapuskan.

“Pengurusan kewangan akan tertakluk kepada undang-undang dan aturan-peraturan baru supaya perdana menteri atau menteri-menteri tidak boleh sembunyi sebarang perbelanjaan. Ketelusan dalam semua urusan akan diamalkan,” katanya.

“Didikan dan latihan secara besar-besaran akan diberi kepada semua rakyat dari semua kaum supaya mereka dapat bekerja dengan pendapatan yang setimpal dengan hasil kerja mereka.”

Sehubungan itu beliau menyeru agar rakyat Malaysia turut bersama-samanya dalam menyertai parti tersebut.

“Kami percaya kami berpengalaman dan memiliki banyak idea untuk pemulihan ekonomi dan politik negara yang kami akan jelaskan dari masa ke semasa.

“Oleh itu sertailah parti kami demi kesejahteraan kehidupan kita semua,” katanya.

Related Articles