KUALA LUMPUR: Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dialami negeri di utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius
METMalaysia berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di bahagian tengah dan selatan Sarawak.
Katanya, keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di kawasan tersebut terutama pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke awal pagi.
“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang turut berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung serta Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. -BH Online