Jangan terpengaruh dengan janji pembangkang – Tok Mad

“Jangan dengar cakap orang (pembangkang)… janji macam-macam. Dia boleh buat janji macam-macam. Janji dulu air percuma….memang percuma pun sebab tidak ada air. Malah dulu janji kata tidak ada cukai, tapi kini cukai naik berkali ganda.

“Janji dulu nak beri elaun kepada ibu tunggal setiap bulan, tapi tidak ada pun. Bahkan ramai daripada penduduk kaum India di sempadan Selangor-Negeri Sembilan iaitu di Sepang dan Semenyih, masuk ke Negeri Sembilan minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kita luluskan,” katanya di Seremban pada Sabtu.

Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Perak dan sambutan Deepavali Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di sini. Turut hadir ialah Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan dan Presiden IPF Negeri Sembilan, S. Visvanathan.

Sementara itu, Sambanthan berkata, IPF akan terus memberi sokongan pada calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun parti itu belum menganggotai BN.

“Kita adalah ‘Friends of BN’ dan akan terus memberi sokongan kepada BN. Seperti mana yang semua ketahui, PRU14 ini adalah satu cabaran besar kepada BN dan kita mempunyai pengalaman untuk membantu menguatkan jentera pilihan raya BN. IPF kini mempunyai lebih 138,000 ahli dengan 79 bahagian di seluruh negara,” katanya. – Bernama

Related Articles