Jangan takut terima dana daripada Soros, kata Zaid

Memetik kenyataan di laman blog miliknya hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Soros juga tidak mengharapkan sebarang balasan melalui bantuan dana yang diberikannya dan tidak mencampuri urusan politik negara.

“Soros tidak campur tangan dalam politik kita. Beliau hanya membantu kita untuk menjadi aktif bagaimana negara ini ditadbir. Beliau tidak menerima sebarang keuntungan mahupun kontrak sebagai balasan dermanya.

“Dalam dunia hari ini, sumbangan dan derma diterima daripada sesiapa sahaja. Persoalannya adalah, apa yang digunakan dengan dana itu. Ada sesetengah mereka yang tidak membenarkan wanita memandu kereta di negara mereka tetapi memberikan derma kepada kita untuk mengekalkan kuasa pemimpin korup.

“Mereka meletakkan wanita di dalam rumah dan menggalakkan perkahwinan kanak-kanak. Penderma bagaimana yanng kita pilih?” kata Zaid.

Zaid berkata, sebagai seorang individu yang percaya kepada emansipasi manusia, Soros membelanjakan jutaan ringgit membantu mereka yang memerlukan.

“Berjuta-juta dibelanjakannya dengan niat murni dan tiada sebab untuk sesiapa berasa malu jika dikaitkan dengannya. Saya ulangi, jangan malu atau rasa bersalah jika menerima bantuan kewangan daripada Soros. Kamu tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

Zaid berkata, beliau tidak meletakkan sebarang harapan namun menggesa jutawan Malaysia mencontohi Soros.

“Saya mengharapkan jutawan kita akan membantu gerakan sivil rakyat dan kumpulan kesukarelaan untuk mengukuhkan rakyat di negara ini.

“Sudah tentu kita boleh biarkan ahli politik yang tidak mempunyai rasa bersalah menerima dana daripada kuasa luar dan kemudiannya kontrak besar atau apa sahaja perjanjian di bawah meja diberikan sebagai balasan.

“Kita boleh biarkan mereka yang korup ini kekal di pejabat awam atau kita boleh membantu rakyat Malaysia mempunyai kuasa untuk bersuara berhubung pentadbiran negara.

“Kamu boleh memilih untuk menjadi jutawan yang tidak mempunyai hati dan perasaan atau gunakan wang kamu seperti mana Soros, membantu rakyat mendapatkann hak asasi mereka. Mana satu yang kamu pilih?” katanya lagi.

Related Articles