Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kekebalan ahli Parlimen tertakluk kepada Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, berhubung keistimewaan Parlimen.
“Di bawah peruntukan tersebut secara jelas menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dipersoalkan semasa dalam sidang Dewan Negara atau Dewan Rakyat.
“Justeru, Ahli Parlimen tidak boleh bercakap atau bertindak sesuka hati sehingga mencemar nama baik dan prestij Dewan yang mulia ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan Perkara 63(4), yang menyatakan keistimewaan daripada dikenakan tindakan mahkamah atas apa yang diucapkan semasa prosiding Dewan Negara atau Dewan Rakyat, adalah tertakluk kepada empat perkara.
Empat perkara itu ialah berhubung Perkara 153 iaitu hak istimewa orang Melayu; Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Perkara 181 tentang Raja-Raja Melayu dan perkara yang tergolong kepada definisi hasutan menurut Akta Hasutan 1948.
Azalina berkata setiap ahli Parlimen seharusnya menggunakan institusi itu untuk membahaskan perkara-perkara memberi manfaat kepada rakyat termasuk isu-isu di kawasan mereka.
Apa yang lebih mengecewakan, kata Azalina ialah apabila ada ahli Parlimen sengaja memperlekehkan dan tidak menghormati kedudukan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sekali gus boleh disifatkan menghina Majlis.
Azalina, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, turut mengingatkan Ahli Parlimen yang pernah berada dalam Kabinet bahawa mereka masih perlu berpegang kepada konsep integriti yang mereka buat sewaktu menandatangani Aku Janji di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Katanya pembangkang tidak perlu melatah apabila polis mahu menyiasat mana-mana Anggota Parlimen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 atau mana-mana akta lain.
“Tindakan pihak berkuasa itu dibuat berdasarkan laporan polis yang diterima.
“Sama ada pihak yang dipanggil itu telah melakukan kesalahan atau tidak tertakluk kepada penyiasatan pihak berkuasa. Adalah pramatang untuk mana-mana pihak untuk membuat kesimpulan terhadap perkara tersebut,” katanya.-–Bernama