Jangan sabotaj calon PAS – Abdul Hadi

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu mungkin tidak mampu memuaskan hati semua pihak dalam soal pemilihan calon.

Beliau mengingatkan ahli parti supaya tidak bertindak mensabotaj atau meninggalkan parti hanya kerana tidak puas hati dengan pemilihan calon.

Abdul Hadi berkata, pemilihan calon melalui proses tapisan rapi yang tidak perlu dipertikaikan kredibilitinya oleh ahli parti.

“Dalam pilihan raya yang masanya agak suntuk, pasti ada yang tidak puas hati pemilihan calon.

“Jangan pula bila ada yang tak puas hati dengan calon, keluar parti atau bertanding calon bebas. Ini salah dalam cara berjamaah. Bertentangan dengan sunnah.

“Dalam masalah calon nak cari yang seratu peratus orang setuju, susah. Kita di Kuala Kangsar dan Sungai Besar terima keputusan parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-62, di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan, berkata jumlah keahli parti itu kini hanya sekitar 800,000.

Takiyuddin berkata, walaupun sebelum ini jumlah keahliannya mencecah satu juta, namun ia berkurangan selepas proses pemutihan dilakukan.

Katanya, proses pemutihan itu termasuk mengenal pasti ahlinya yang sudah meninggal dunia termasuk ‘segerombolan’ ahli meninggalkan PAS dan menyertai parti baharu.

Related Articles