Jangan main isu perkauman ketika kempen – Zahid

by SM Amin

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati kesemua pemimpin politik khususnya pembangkang supaya tidak menyentuh isu agama dan sensitiviti kaum ketika berkempen.

Beliau berkata, ingatan yang sama turut dilontarkan kepada jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak menyentuh isu berkenaan apatah lagi membabit soal kaum dan agama.

“Maka kita mahu kawan dari parti lain mematuhi etika kempen yang ditetapkan. Jangan hanya berpandukan kepada etika ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja, tetapi ahli politik sendiri mesti menjaga keharmonian hidup beragama dalam masyarakat pelbagai agama dan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan Bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Sungai Leman di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim dan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

Dalam program dihadiri kira-kira 1,000 penduduk setempat itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan bantuan kewangan kepada 100 anak yatim dan 100 al-Quran untuk diwakaf kepada Masjid Nurul Falah.

Timbalan Perdana Menteri turut berkata, sembilan laporan polis dibuat susulan tindakan parti pembangkang memasang papan iklan yang menyentuh isu agama dan kaum di sini baru-baru ini yang mana lima kertas siasatan dibuka pihak polis bagi menyiasat kes berkenaan.

Related Articles