Beliau menyifatkan tindakan itu bertentangan dengan prinsip moraliti dalam politik yang menjadi penentu kepada penghormatan rakyat terhadap seseorang pemimpin.
Walaupun tidak menamakan sesiapa, kenyataan Najib itu dipercayai membidas langkah yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama beberapa bekas pemimpin UMNO yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang termasuk DAP untuk mencapai matlamat peribadi.
“Kita dulu orang asyik mengata kita, dia dah ludah muka kita dan kata kita ini bukan sahaja Firaun, tapi maha Firaun. Sudah meludah muka kita, kata kita ini bukan perompak, tapi ketua perompak.
“Kenapa pula hari ini kita hendak jilat balik? Dulu, kita kata orang itu anti-Melayu … kita kata dia anti-Islam, hari ini pula kita hendak bersekongkol dan bersubahat dengan orang yang sudah pun mengutuk, mencerca, godam, balun, henyak, hantuk, dan ‘tibai’ kita segalanya.
“Hari ini kita nak duduk semeja dengan mereka. Ini bukanlah bererti kita mempunyai prinsip moral politik. Dalam politik yang akhirnya menentukan orang hormat kepada kita atau tidak, kita mesti ada prinsip moraliti dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang, Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting, pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Najib turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Perak yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang melepaskan kesemua jawatannya dalam parti, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Najib menegaskan sekiranya permuafakatan dalam parti diutamakan, UMNO mampu mencapai kejayaan gemilang seperti dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) Sarawak serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Siapa kata UMNO dan Barisan Nasional (BN) lemah? Janganlah perlekehkan kita kononnya Sungai Besar dan Kuala Kangsar hendak jadikan referendum kepada kepemimpinan saya. Akhirnya undi kita melonjak dengan majoriti besar,” katanya. -Utusan Online