Jangan kaitkan pro-Palestin dengan kegiatan IS

Kata Dr. Musa contoh yang diberikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan mengaitkan nama Palestin adalah satu contoh yang sangat simplistik kerana terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada fahaman keganasan melampau.

“Pandangan beliau terhadap tercetusnya sikap pelampau Islam adalah amat simplistik. Ini kerana, pada hakikatnya, pengembangan ideologi ekstrem IS melibatkan segelintir kecil penganut Islam sahaja.

“Sebenarnya, banyak faktor lain yang turut menyumbang kepada kefahaman ekstrem IS dan amatlah tidak wajar serta naif bagi beliau memberikan suatu pandangan yang simplistik,” katanya melalui kenyataan media bersama Pengerusi BDS Malaysia, Prof Mohd Nazari Ismail dan Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Menurut Dr. Musa, kegiatan IS lebih banyak menggunakan platform internet dan media sosial untuk mengumpan mangsa ke arah suatu kefahaman idealistik di mana suatu khalifah Islam global akan bangun memerintah manusia dengan undang-undang syariah melalui kuasa agama, politik dan ketenteraan.

“Mereka yang terpengaruh dengan kefahaman ini akan mempunyai pemikiran sesat bahawa orang-orang yang menentang IS boleh dilabelkan sebagai kafir harbi atau munafik dan boleh dibunuh secara sah,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Musa tidak menafikan bahawa memang wujud segelintir kecil dalam kumpulan ekstremis yang turut menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Namun demikian, hampir kesemua aktivis pro-Palestin sama ada dari kalangan orang Islam dan bukan Islam, menentang secara damai penaklukan, penjajahan dan penindasan rakyat Palestin oleh Zionis Israel.

“Sebaliknya, IS dan Al-Qaeda pula seolah-olah bisu terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin. Bahkan, mereka telah memerangi semua orang bukan Islam secara rambang serta orang Islam yang tidak menyokong fahaman ekstrem, seperti terbukti dengan serangan ganas mereka baru-baru ini di Malaysia, Indonesia dan Arab Saudi. Yang anehnya, negara Zionis Israel pula telah terselamat dari tindakan ganas mereka,” katanya.

Related Articles