Jangan dakwa penyerang Khalid Samad di bawah SOSMA

Ketua Biro Undang-undang AMANAH, Hanipa Maidin berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan penyerang Khalid akan ditahan di bawah akta itu.

“Bagi pihak AMANAH, saya tidak setuju dan membantah keras jika kerajaan ingin gunakan SOSMA ke atas perusuh-perusuh tersebut.

“AMANAH konsisten menentang SOSMA digunakan ke atas sesiapa pun walaupun musuh politik AMANAH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nur Jazlan Muhamad berkata, pihaknya yang tidak menolak kemungkinan SOSMA digunakan terhadap individu yang terbabit menyerang Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Beliau berkata, walaupun tidak setuju dengan rusuhan yang dilakukan terhadap Khalid namun parti itu juga tidak bersetuju jika SOSMA digunakan ke atas mereka yang menyerangnya.

“Ini kerana SOSMA adalah akta yang zalim dan tidak memberi keadilan kepada mana mana orang yang ditahan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Nur Jazlan kerana tidak bersetuju dengan tindakan individu terbabit serta menggesa supaya mereka diambil tindakan oleh parlimen.

Pada Khamis lalu, sekumpulan individu cuba menyerang Khalid di kawasan parlimen sehingga bertindak merempuh kawalan anggota keselamatan yang cuba melindungi ahli parlimen itu.

Berikutan itu 11 individu, termasuk anak ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditahan kerana merusuh di kawasan parlimen.

Related Articles