Jangan beri alasan “tidak cukup bajet”

Perdana menteri yang juga menteri kewangan meminta Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat untuk mempermudah kementerian pelaksana memastikan agar tiada kekangan dalam penyampaian dan pelaksanaan projek-projek berkenaan.

“Alasan duit tak sampai atau bajet tak cukup jadi luahan, sama ada tepat atau tidak. Kita harap dapat perhatian serius supaya tidak dijadikan alasan untuk mana-mana kementerian pelaksana tidak mulakan projek atau program,” katanya.

Najib berkata beliau mahu pada tahun ini penjawat memberi fokus kepada perkhidmatan penyampaian kepada rakyat bagi menjadikan sebagai tahun paling berjaya demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ini mesti kita jadikan sebagai bidang keutamaan kita. Fokus kita tahun ini – penyampaian, penyampaian, penyampaian,” katanya dalam perhimpunan khas bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Di samping itu, Najib berkata sebanyak lebih 150 inisiatif telah disenaraikan dalam Bajet 2017 sebagai titik sentuh yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Kita beri perhatian kepada projek titik sentuh yang sangat diharapkan oleh rakyat dan pastikan program sentuhan hati rakyat berjalan dengan lancar. Kita perlu pastikan tiada ketirisan dan laksanakan dengan penuh berintegriti serta bertanggungjawab,” katanya.

Menyentuh Transformasi Nasional 2050 (TN50), perdana menteri menggariskan dua matlamat yang perlu dicapai iaitu untuk jangka masa pertengahan dan jangka masa panjang.

Bagi jangka masa pertengahan, katanya, ialah mencapai pertumbuhan ekonomi daripada RM1.3 trilion hari ini kepada RM2 trilion nilai ekonomi negara dalam jangka masa tertentu yang realistik.

“Bagi jangka masa panjang pula, Malaysia mesti berada dalam 20 negara teratas di dunia dalam apa pun termasuk bidang bola sepak,” katanya. – Bernama

Related Articles