JAIS akui diarah jemput guru sekolah agama ke seminar pemikiran Anwar

Tegas Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim seminar tersebut anjuran Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bukannya dianjurkan oleh JAIS.

“Dalam hal ini, JAIS telah menerima arahan untuk memanjangkan jemputan kepada guru-guru di bawah seliaan JAIS. Pihak JAIS juga tidak mewajidkan para guru untuk menghadiri seminar ini.

“Kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak yang mengaitkan JAIS sebagai penganjur program tersebut boleh menjatuhkan kredibiliti JAIS selaku jabatan yang menguruskan hal ehwal Agama Islam di Negeri Selangor, memandangkan pihak yang terlibat tidak menyemak terlebih dahulu kesahihan berita sebelum melakukan kenyataan media,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan daripada itu, beliau meminta supaya pihak berkaitan menyemak dahulu fakta dan menghubungi JAIS sendiri sekiranya terdapat kekeliruan.

“Pihak JAIS memohon kepada individu dan masyarakat di luar sana agar tidak memutarbelitkan keadaan tanpa usul periksa terlebih dahulu.

“Jika perlu, orang ramai boleh menghubungi JAIS bagi mendapatkan maklumat yang sahih berkaitan sesuatu isu,” ujarnya.

Berdasarkan kandungan surat JAIS bertarikh 21 November 2016, jabatan tersebut menjemput semua guru sekolah rendah agama (SRA) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di daerah Petaling dan Klang menghadiri seminar berkenaan yang bakal diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin ini antara 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Tindakan itu mendapat kritikan pelbagai pihak atas alasan JAIS sanggup menganjurkan program sedemikian yang seolah-olah cuba mengangkat martabat seorang individu yang sedang menjalani hukuman penjara kerana disabitkan dengan kesalahan meliwat.

Related Articles