Jabatan Kesihatan Kelantan tempatkan pegawai di pintu masuk negeri

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher, berkata penempatan pegawai kesihatan di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Jeli itu bermula sejak 5 Jun dan diteruskan sehingga kini.

Jelas Dr Ahmad Razin, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 89,334 pelawat yang keluar masuk ke negeri itu dan sehingga kini Kelantan masih bebas dari jangkitan zika, dalam tempoh 5 Jun sehingga 27 Ogos.

“Pegawai kesihatan yang bertugas akan membuat pemeriksaan ke atas semua pelawat yang masuk bagi mengesan sama ada individu berkenaan dijangkiti zika atau demam, sebelum rawatan lanjut dibuat.

“Memandangkan Thailand mencatatkan kes yang agak banyak dan ia bersempadan dengan Kelantan. Justeru, kita perlu mengambil pendekatan proaktif dengan membuat pemeriksaan terhadap pelawat yang keluar masuk.

“Kita juga mengarahkan semua hospital hospital kerajaan mengambil perhatian lebih terhadap pesakit yang menghidap demam panas sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya memetik laporan BH Online.

Akhbar sebelum ini melaporkan, bilangan mereka yang dijangkiti zika di Thailand dilaporkan meningkat mendadak dengan 97 orang disahkan mendapat jangkitan terbabit bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu dilaporkan tinggi berbanding antara 2012 hingga tahun lalu iaitu purata lima orang yang direkodkan dijangkiti virus berkenaan. Kes terbaharu dicatatkan di Chiang Mai, Chanthaburi, Phetchabun dan wilayah Bung Kan.

Related Articles