Pengarahnya, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, pemantauan ke atas kolam di pusat peranginan itu telah melebihi dua tempoh inkubasi dengan mengambil kira kes terakhir direkodkan pada 1 Oktober lalu.
“Tempoh inkubasi bagi Rotavirus adalah dua jam sehingga tiga hari,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Dr. Juita berdasarkan analisis serta ujian makmal, pihaknya membuat kesimpulan jangkitan Rotavirus yang dikesan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak baru-baru ini adalah disebabkan pendedahan di taman tema air tersebut pada 24 September.
“Hampir kesemua pesakit mempunyai sejarah mengunjungi resort yang sama, maka jangkitan adalah akibat air yang tercemar pada hari berkenaan (24 September),” katanya.
Sementara itu, Dr. Juita berkata, walaupun pemantauan telah dihentikan, taman tema air berkenaan masih belum boleh dibuka kepada umum kerana ujian sampel kali kedua perlu dijalankan terlebih dahulu.
“Ujian kali kedua ini bergantung kepada pengurusan resort berkenaan. Jika mereka telah selesai melakukan kerja pembersihan dan penyucian kolam, maklumkan kami dan kami akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai enam kes positif Rotavirus di Perak, Dr. Juita berkata, semua pesakit berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital. – Bernama